Assalamualaikum . Untuk catatan kali ini , aku hendak berkongsi cerita , pengalaman dan gambar-gambar . Cerita , pengalaman dan gambar tentang apa ? Tentang Pertandingan Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen Peringkat Negeri Labuan 2016 . Aku telah dijangkiti penyakit demam selepas pulang daripada pertandingan tersebut . Tidak mengapa , walaupun demam , aku tetap ingin menulis catatan ini . Secara jujur , aku masih tidak percaya bahawa aku merupakan salah seorang ahli Pasukan Bahas SMK Pantai . Bangga aku dibuatnya . Pertandingan ini diadakan selama 3 hari . Tuan rumah untuk pertandingan ini adalah SMK Mutiara yang berhampiran dengan sekolahku . Pasti akan ada yang bertanya , mengapa aku menggunakan bahasa melayu baku untuk catatan kali ini ? Aku akan jawab persoalan itu sebentar lagi .
Kami dikehendaki untuk berlatih selama 2 minggu dan berada di bawah bimbingan Cikgu Sawiyah Tawile dan Cikgu Zaleha Pumb .
Pada hari kedua (Jumaat , 29 April 2016) , kami dikehendaki untuk berbahas untuk peringkat separuh akhir dengan pasukan tuan rumah , iaitu SMK Mutiara . Sebelum mengetahui peranan kami semasa berbahas , seorang wakil dikehendaki untuk memilih sama ada congkak atau bunga pada duit syiling (lambungan duit syiling) . Selepas itu , aku mewakili SMK Pantai memilih congkak dan wakil SMK Mutiara memilih bunga . Lambungan tersebut berhenti dan menunjukkan congkak . Maka , kami bersetuju untuk menjadi pihak pembangkang . Kehadiran adik-beradik dan ibu aku untuk menyaksikan perbahasan semasa hari tersebut secara tidak langsung telah menaikkan semangat aku .
Usul perbahasan (Jumaat , 29 April 2016) : Kerajaan Penentu Kelestarian Alam
Peranan : Siti Umairah Najwa Binti Wardi (Ketua Pembangkang)
Aku (Pembangkang Kedua)
Izuan Bin Idris (Pembangkang Ketiga)
Nur Azzyati Binti Zailani (Pembangkang Keempat)
Mohd Fadhil Fikri Bin Ahad (Pembangkang Kelima)
Keputusan : Usul ditolak
* Makluman : Gambar di atas bukan gambar semasa perbahasan Jumaat lepas . Hanya sekadar paparan untuk menunjukkan rakan sepasukan aku .
Gambar diatas menunjukkan kami sedang mendengar taklimat mengenai peraturan perbahasan dan Ketua Pembangkang sedang berhujah . Tahniah diucapkan kepada Ketua Pembangkang kerana dinobatkan sebagai Pembahas Terbaik setelah sesi perbahasan tamat .
Pada hari ketiga (Sabtu , 30 April 2016) , kami dikehendaki untuk berbahas dengan pasukan bahas SMK Lajau . Untuk peringkat akhir ini , pasukan sekolah kami terpaksa mengorbankan masa untuk memperbaiki teks hujah dan celahan . Begitu juga dengan cikgu kami , iaitu Cikgu Sawiyah Tawile . Usul yang akan diperbahaskan agak susah . Aku difahamkan bahawa masing-masing tidur pada awal pagi . Termasuk diriku sendiri . Seperti biasa , untuk menentukan peranan masing-masing , kami dikehendaki untuk membuat lambungan duit . Semasa disoal untuk memilih corak duit syiling , aku dan wakil daripada SMK Lajau menyebut congkak secara serentak . Hampir kesemua yang berada di dalam bilik mesyuarat ketawa terhadap situasi tersebut . Cikgu Sawiyah mengusikku dan mengatakan bahawa ia adalah jodoh . Maka , aku mengalah dan memilih bunga . Setelah dilambung , duit syiling menunjukkan congkak . SMK Lajau telah memilih untuk menjadi pembangkang . Maka , kami dikehendaki untuk menjadi pihak kerajaan .
Usul perbahasan (Sabtu , 30 April 2016) : Media Sosial Mampu Memartabatkan Bahasa Melayu
Peranan : Siti Umairah Najwa Binti Wardi (Perdana Menteri)
Aku (Menteri Kedua)
Izuan Bin Idris (Menteri Ketiga)
Nur Azzyati Binti Zailani (Menteri Keempat)
Mohd Fadhil Fikri Bin Ahad (Menteri Kelima)
Keputusan : Usul ditolak
Keputusan penuh : Johan - SMK Lajau
Naib Johan - SMK Pantai
Ketiga - SMK Mutiara , SMK Rancha Rancha
Alhamdulillah . Kami dinobatkan sebagai naib johan . Tahniah diucapkan kepada SMK Lajau . Anda layak untuk memenanginya . Dramatik sungguh ayat mereka semasa berbahas . Sememangnya menarik perhatian ahli dewan untuk mendengar bidasan dan hujah anda semua . Aku berasa gembira kerana kedua-dua ibu bapaku dan adik-adik aku menghadiri peringkat akhir perbahasan untuk tahun ini . Terima kasih !
#MartabatkanBahasa
Ini adalah sebab mengapa aku menggunakan bahasa melayu baku untuk catatan kali ini .
Secara jujur , aku tidak faham mengapa peserta yang terdiri daripada sekolah lain tidak dibekalkan air mineral dan makanan ? Itu merupakan persoalan yang bermain dalam otakku . Aku berharap agar kejadian seperti ini tidak akan berulang lagi .
Apa yang menyeronokkan adalah Cikgu Sawiyah telah belanja kami semua untuk makan bersama-sama di Lapangan Terbang Labuan . Terima kasih cikgu ! Inshaa allah , umur panjang kita berjumpa lagi pada tahun akan datang untuk pertandingan bahas . Tahniah juga kepada pasukan debat Bahasa Inggeris SMK Pantai (Firdaus , Sabrina , Pearl , David , Wan Dhiya) yang berjaya mendapat tempat ketiga dalam pertandingan debat Bahasa Inggeris . Itu sahaja untuk catatan kali ini .
Begambar bersama-sama dengan johan !
Daripada kiri : Cikgu Sawiyah , Fadhil , Izuan , Umairah , Azzyati , Aku dan Cikgu Zaleha .
Dengan senior , iaitu Farahani yang telah menghadiri peringkat separuh akhir dan akhir perbahasan .
Kelakar sungguh hasil edit ini . Tidak mengapa , janji ada gambar bersama kedua ibu bapaku .
assalamualaikum boleh x bagi contoh perbahasan ttg media sosial mmpu memartabatkan bahasa melayu
BalasPadamassalamualaikum boleh x bagi contoh perbahasan ttg media sosial mmpu memartabatkan bahasa melayu
BalasPadam